Tuesday, July 21, 2009

Sayyid Qutub Tafsir Fi Zilalil Quran Surah Al-Asr

سورة العصر
SURAH MASA
Surah Masa
Surah (103) - Makkiyah - 3 ayat

Yang bermaksud:

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
1. Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.
3. Kecuali orang yang beriman dan melakukan amalan yang soleh serta
saling berpesan supaya menjunjung ajaran (Allah) yang benar dan
saling berpesan supaya bersikap sabar.

Dalam surah yang kecil, yang mengandungi tiga ayat ini tergambar satu peraturan hidup yang sempurna bagi manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam. Sifat-sifat pokok kefahaman keimanan serta hakikatnya yang agung dan syumul adalah tergambar begitu jelas dalam surah ini.

Ia meletakkan seluruh perlembagaan Islam dalam beberapa ungkapan yang pendek dan mensifatkan hakikat dan fungsi umat Islam hanya dalam satu ayat sahaja iaitu ayat yang ketiga dari surah ini. Inilah pengungkapan yang mengkagumkan yang hanya dapat dilakukan oleh Allah 'Azzawajalla sahaja.

Hakikat agung yang dikemukakan oleh keseluruhan surah ini ialah: Biarpun selanjut mana waktu pada seluruh zaman dan sepanjang mana kelangsungan hidup manusia pada semua masa, namun di sana hanya ada satu cara dan satu jalan hidup sahaja yang membawa keuntungan dan keselamatan.

Itulah cara dan jalan hidup yang telah dijelaskan sempadansempadan dan batu-batu tandanya dalam surah ini. Selain cara hidup ini
adalah sia-sia dan rugi belaka.

1. Demi masa!

2. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.

3. Kecuali orang yang beriman dan melakukan amalan yang soleh serta
saling berpesan supaya menjunjung ajaran (Allah) yang benar dan saling
berpesan supaya bersikap sabar.

Itulah keimanan, amalan yang soleh, saling berpesan menjunjung ajaran yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar.

Apakah iman itu? Kami tidak bermaksud menta'rifkan iman di sini dengan ta'rif ilmu fiqah, tetapi kami mahu memperkatakan tentang tabi'at iman dan nilainya
dalam kehidupan manusia.

Keimanan ialah hubungan makhluk manusia yang bersifat fana, kerdil dan terbatas dengan Allah yang bersifat Mutlak, Azali, Kekal, dan Sumber yang dari-Nya lahir segala yang wujud, juga hubungannya dengan 'alam yang lahir dari Allah dan hubungannya dengan undang-undang yang mengendalikan perjalanan 'alam ini, juga hubungannya dengan tenagatenaga alam yang tersimpan di 'alam ini.

Titik tolak di sini ialah dari perbatasan diri manusia yang kerdil kepada ruang 'alam yang amat luas dan dari batas-batas kekuatannya yang lemah kepada kebesaran tenaga 'alam yang majhul dan dari batas-batas umurnya yang pendek kepada kelanjutan abad-abad yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Hubungan seperti ini selain memberi kekuatan, kelanjutan dan kebebasan kepada manusia ia juga memberikan keni'matan hidup kepada mereka dengan segala keindahan 'alam dan dengan aneka ragam makhluk di mana terjalin di antaranya dengan mereka rasa kasih sayang yang mendalam pada jiwa masing-masing, sehingga hidup ini dirasakan seolah-olah satu perkelahan melihat temasya temasya Ilahi yang dipamerkan kepada manusia di setiap tempat dan pada setiap waktu.

Ia merupakan satu kebahagiaan dan kegembiraan yang tinggi dan merupakan satu kemesraan terhadap hidup dan terhadap 'alam buana sama seperti kemesraan kekasih terhadap kekasihnya. Ini adalah suatu keuntungan yang tidak dapat dibandingkan dengan keuntungan keuntungan yang lain dan kehilangannya merupakan suatu kerugian yang tidak dapat dibandingkan dengan kerugian-kerugian yang lain.

Kemudian asas-asas keimanan itu sendiri merupakan asas-asas kemanusiaan yang luhur. Menyembah Allah yang Tunggal membebaskan manusia dari perhambaan kepada yang lain dari Allah dan menegakkan dalam jiwanya kesedaran berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sesama manusia. Kerana itu ia tidak menghinakan dirinya kepada seseorang yang lain dan tidak tunduk melainkan kepada Allah yang Maha Kuasa.

Dari sinilah lahirnya kebebasan haqiqi bagi manusia, iaitu kebebasan yang terbit dari dhamir dan dari kefahaman terhadap hakikat yang berlaku di 'alam iaitu tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah yang Tunggal dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Tunggal.

Pembebasan diri ini adalah terbit dengan sendirinya dari kefahaman ini, kerana ia merupakan satusatunya kesimpulan yang logik.

TAFSIR DARI SAYYID QUTUB

No comments:

Post a Comment